EDAAS Wakili UUM dalam Pameran Festival of Idea Putrajaya 2025
mazri
17/11/2025
PUTRAJAYA, 17 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Festival of Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 dengan membawa inovasi sistem akuaponik pintar, EDAAS, sebagai salah satu pameran utama dalam acara tersebut yang berlangsung dari 4 hingga 8 November 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Festival of Idea Putrajaya merupakan platform nasional yang menghimpunkan pelbagai idea, inovasi dan penyelesaian kreatif daripada institusi pengajian tinggi, industri serta agensi kerajaan. Penyertaan EDAAS dalam festival ini bertujuan untuk memperkenalkan teknologi pertanian pintar berasaskan akuaponik kepada masyarakat serta mempamerkan keupayaan inovasi pelajar dan penyelidik UUM.
Sistem akuaponik EDAAS menggabungkan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memantau aliran air, kualiti air serta keselamatan sistem secara masa nyata. Melalui aplikasi mudah alih, pengguna dapat memantau prestasi sistem dengan lebih mudah dan efisien, sekaligus membantu meningkatkan produktiviti tanaman dan ternakan ikan.
Pameran ini turut mendapat perhatian apabila dikunjungi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, yang meluangkan masa meninjau pameran inovasi daripada universiti-universiti awam termasuk EDAAS dari UUM. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi terhadap pembangunan teknologi dan inovasi tempatan.
Festival ini turut diserikan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai ‘City of Ideas’ dan pusat pemerkasaan ekosistem inovasi negara.
Sepanjang pameran, EDAAS menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pengunjung yang terdiri daripada pelajar, pendidik, penyelidik serta orang awam. Ramai yang tertarik dengan konsep pertanian moden yang mesra alam, menjimatkan ruang dan sesuai diaplikasikan di sekolah, universiti serta komuniti setempat.
Penyertaan ini bukan sahaja memperkukuhkan peranan UUM dalam bidang inovasi dan teknologi hijau, malah membuka peluang kerjasama strategik dalam memperluaskan penggunaan sistem akuaponik pintar EDAAS di seluruh negara.









