News
EDAAS

Home   >   News EDAAS

PERLAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN EKONOMI KOMUNITI AKUAPONIK 2 (PEKA2)


3
4
WhatsApp Image 2025-07-01 at 15.22.10
WhatsApp Image 2025-07-01 at 15.22.12
WhatsApp Image 2025-07-01 at 15.24.13
WhatsApp Image 2025-07-01 at 15.24.12

SINTOK, 16 JUN–Dalam usaha memperkasa kesedaran dan penglibatan masyarakat terhadap teknologi pertanian moden, Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik (PEKA) telah berjaya dianjurkan dalam beberapa siri sepanjang minggu-minggu lalu iaitu pada tarikh 27 Mei, 3 Jun dan 10 Jun. Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih daripada 120 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India serta latar belakang yang pelbagai termasuklah kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), guru-guru sekolah, petani kecil, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Menariknya, para peserta yang hadir bukan sahaja dari sekitar kawasan UUM, malah turut melibatkan penyertaan dari Sungai Petani, Kuala Kedah, Perlis dan Bagan Serai (Perak). Kehadiran mereka memperlihatkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat terhadap bidang pertanian berasaskan teknologi, khususnya sistem akuaponik yang menjadi fokus utama program ini.

Akuaponik merupakan satu sistem pertanian bersepadu yang menggabungkan penternakan ikan (akuakultur) dan penanaman sayuran tanpa tanah (hidroponik) dalam satu ekosistem yang saling bergantung. Ia dikenali sebagai pendekatan lestari dalam pengeluaran makanan kerana mampu menjimatkan air, ruang dan masa, di samping menghasilkan sumber makanan yang segar dan selamat.

Program PEKA yang digerakkan oleh barisan penganjur dari kalangan ahli akademik UUM ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk memahami konsep asas akuaponik, melihat sendiri demonstrasi sistem beroperasi serta mempelajari teknik pemasangan dan penyelenggaraan sistem berskala kecil yang sesuai digunakan di rumah, sekolah atau ladang komuniti.

Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk memperkenalkan pertanian pintar kepada komuniti, menggalakkan amalan makanan lestari dan mencetuskan minat terhadap penggunaan teknologi mudah dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Melalui penyertaan secara langsung dalam bengkel dan latihan praktikal, peserta bukan sahaja mendapat ilmu baharu, malah berpeluang bertukar pandangan dan membina jaringan kerjasama antara komuniti.

Pihak penganjur menyatakan harapan agar usaha ini menjadi titik tolak kepada perkembangan sistem akuaponik di peringkat tempatan serta mendorong lebih ramai individu dan organisasi untuk meneroka potensi teknologi hijau dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negara. Mereka turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah meluangkan masa, menunjukkan komitmen tinggi dan bersama-sama menyokong aspirasi PEKA untuk melahirkan masyarakat celik teknologi dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

Dengan kejayaan program ini, PEKA bakal diteruskan sebagai satu inisiatif berterusan bagi memastikan manfaat ilmu dan teknologi dapat disampaikan secara meluas serta memberikan impak jangka panjang kepada komuniti.

Leave A Comment

Get In Touch

Contact Us

ADDRESS

School of Technology Management & Logistics, Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman.

CALL

+60105607840

EMAIL

myedaas@gmail.com

    Top